ISU PERKAUMAN DALAM PILIHAN RAYA 1969
Semasa kempen Pilihan Raya 1969, calon-calon pilihan raya serta ahli-ahli politik dari kalangan parti pembangkang, telah membangkitkan soal-soal Bangsa Malaysia berkaitan dengan Bahasa Kebangsaan(Bahasa Melayu), kedudukan istimewa orang Melayu sebagai bumiputera dan hak kerakyatan orang bukan Melayu. Hal ini telah memberi kesempatan kepada ahli-ahli politik yang ingin mendapatkan faedah daripadanya dalam pilihanraya.
Pada pilihanraya umum 1969, Parti Perikatan yang dianggotai oleh UMNO, MCA, dan MIC gagal memperolehi majoriti 2/3 di parlimen walaupun masih berjaya membentuk kerajaan persekutuan. Hal ini disifatkan oleh parti pembangkang sebagai satu kemenangan yang besar buat mereka. Jumlah kerusi yang dimenangi Parti Perikatan dalam Dewan Rakyat (Parlimen) telah menurun daripada 89 kerusi pada tahun 1964 kepada 66 kerusi pada tahun 1969.
Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Progresif Rakyat(PPP) menang 25 buah kerusi dalam Dewan Rakyat manakala PAS menang 12 kerusi.
PEMBANGKANG MERAIKAN KEMENANGAN
Peristiwa ini berlaku berikutan pengumuman keputusan Pilihanraya Umum pada 10 Mei 1969.
Dr. Tan Chee Khoon dari parti Gerakan telah menang besar di kawasan Batu, Selangor. Beliau minta kebenaran polis untuk berarak meraikan kemenangan parti tersebut di Selangor yang menyaksikan 50:50 di Selangor. Perarakan tersebut menyebabkan kesesakan jalan raya di sekitar Kuala Lumpur. Perarakan hingga ke Jalan Campbell dan Jalan Hale dan menuju ke Kampung Baru. Sedangkan di Kampung Baru, diduduki lebih 30,000 orang Melayu yang menjadi kubu UMNO, berasa terancam dengan kemenangan pihak pembangkang. Di sini letaknya rumah Menteri Besar Selangor ketika itu, Dato' Harun Idris.
PERARAKAN KEMATIAN CINA
Di Jinjang, Kepong, kematian seorang Cina akibat sakit tua diarak sepanjang jalan dengan kebenaran polis. Namun perarakan kematian bertukar menjadi perarakan kemenangan pilihan raya dengan menghina Melayu.
Pada hari Selasa 13 Mei, Yeoh Tech Chye selaku Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia yang bertanding untuk Gerakan memohon maaf di atas ketelanjuran ahli-ahlinya melakukan kebiadapan semasa perarakan. Yeoh menang besar di kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur tetapi permohonan maaf sudah terlambat.
RUMAH MENTERI BESAR SELANGOR DAN RUSUHAN PERTAMA
UMNO telah mengadakan perarakan balas pada pagi 13 Mei 1969 yang mengakibatkan terjadinya peristiwa ini.
UMNO bercadang untuk mengadakan perarakan balas pada 7.30 petang 13 Mei hari Selasa, tetapi kebanyakan orang Melayu mula berkumpul di depan rumah menteri besar Selangor pada awal pagi. Orang Melayu dari luar Kuala Lumpur turut serta dalam perarakan ini seperti dari Morib, Banting dan juga Perak. Menurut laporan rasmi Majlis Gerakan Negara (Mageran), pergaduhan mula berlaku di Setapak dalam pukul 6 petang apabila sekumpulan pemuda Cina menghalang beberapa orang Melayu yang dalam perjalanan ke Kampung Baru untuk menyertai perarakan UMNO dengan membaling botol kaca dan batu ke arah mereka. Pergaduhan ini diketahui oleh orang Melayu yang berkumpul di Kampung Baru Jalan Raja Muda. Dalam pukul 6.30 petang orang Melayu mula bergerak dari Kampung Baru dan menyerang orang Cina dengan bersenjatakan parang dan keris. Mereka membakar rumah-rumah kedai di sekitar kawasan Kuala Lumpur dan juga kereta. Orang Cina yang terserempak dibunuh. Menurut laporan majalah Time, sekurang-kurangnya 8 orang Cina terbunuh dalam rusuhan pertama yang berlaku.
Rusuhan ini mula tersebar di sekitar Kuala Lumpur dalam masa 45 minit dari Jalan Campbell, Jalan Tunku Abdul Rahman (Batu Road), Kampung Datuk Keramat, Kampung Pandan, Cheras, Kampung Kerinchi dan Sentul.
Tentera dari Askar Melayu lebih awal dikerahkan menjaga keselamatan sekitar Kuala Lumpur.
PANGGUNG ODEON
Pemuda-pemuda Cina telah bertindak mengepung Panggung Odeon, di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Beberapa iklan disiarkan dalam bahasa Cina di skrin pawagam menyuruh penonton dari kalangan Cina keluar dari panggung. Penonton Melayu di panggung tersebut langsung tidak tahu membaca tulisan bahasa Cina. Kesan daripada itu, pemuda-pemuda Cina tersebut telah menyerbu masuk ke dalam panggung dan menyerang dan menyembelih penonton yang ada dan membakar pawagam tersebut. Hampir semua penonton di dalam panggung tersebut mati di dalam keadaan yang sangat mengerikan. Ini termasuklah dua orang Askar Melayu yang tinggal di Sungai Ramal, Kajang. Manakala di pasar pula askar Melayu telah menembak orang Cina yang melanggar perintah berkurung dengan kereta perisai mereka. Di lebuh raya persekutuan pula, penduduk Melayu Kampung Kerinchi telah membuang pasu di atas lebuh raya tersebut dan mengakibatkan kesesakan lalulintas dan kemalangan.
Pemuda yang bernama Rahim Desa bersama seorang kawannya yang berjawatan kapten ketika itu yang tinggal di Kuala Lumpur yang turut menonton wayang di Odeon terkena tetakan di kepala dan berpura-pura mati. Beliau masih hidup hingga sekarang. Sementara Mohd Radzi mengalami pengalaman yang sama di Pawagam Federal, Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur ketika menonton filem They Came To Rob Las Vegas arahan Antonio Isasi-Isasmendi.
Abdul Rafai Alias bersama rakan-rakannya dari Semenyih yang datang ke Kuala Lumpur turut terperangkap dan terkejut dengan rusuhan kaum yang tidak disangka-sangka pada 13 Mei itu. Beliau turut melangkah-langkah mayat mereka yang telah terbunuh di atas jalan.
Khabar angin mengatakan Tentera Sabil dari Sungai Manik hendak datang ke Kampung Baru tetapi tersekat. Begitu juga dengan Tentera Selempang Merah dari Muar dan Batu Pahat tersekat dan disekat oleh polis di Balai Polis Kajang dan Cheras.
Apa yang pasti, Askar Melayu juga telah menyelamatkan orang Melayu di Kampung Baru ketika itu.
PERSEPSI
Kalangan orang Melayu mempunyai pandangan yang negatif terhadap kaum Cina yang dilihat sebagai tidak mengenang budi dengan taraf kerakyatan yang diberikan pada mereka pasca kemerdekaan. Persepsi negatif masyarakat Melayu terhadap kaum Cina juga berlaku kerana orang Cina merupakan majoriti menganggotai pasukan Bintang Tiga yang ingin menjadikan negara ini sebagai negara komunis berpaksikan negara komunis China.
Pada tahun 2007, satu buku — May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969 yang ditulis oleh akademik, bekas ahli Democratic Action Party, dan bekas ahli parlimen Kua Kia Soong — telah diterbit oleh Suaram. Berdasarkan dokumen yang baru 'declassified' di pejabat maklumat awam London, buku tersebut mengatakan bahawa rusuhan tersebut bukannya disebabkan parti pembangkang sepertimana cerita rasmi yang diberikan, tetapi rusuhan tersebut dimulakan oleh "ascendent state capitalist class" di UMNO sebagai 'coup d'etat' untuk menumbangkan Tunku Abdul Rahman.
Bagaimanapun ia hanyalah merupakan suatu pendapat sahaja atau cerita dari sebelah pihak lain yang belum lagi pernah dibuktikan kesahihan atau sebaliknya.
Satu lagi persepsi yang kurang tepat disebarkan ialah penglibatan Lim Kit Siang dalam peristiwa 13 mei ini. Menurut Penasihat DAP itu, beliau tidak berada di Kuala Lumpur pada 11, 12 dan 13hb Mei 1969.
Link di bawah mengenai video tentang punca kejadian hitam iaitu tragedi 13 mei https://youtu.be/cbabJ23s4D0
Gambar di bawah menunjukkan rusuhan yang berlaku pada 13 mei 1969 :
Tiada ulasan:
Catat Ulasan